Blog ini akan memaparkan tentang ciri-ciri pantun, bagaimana untuk menghasilkan pantun dan keindahan pantun itu sendiri untuk membantu murid menghayati keindahan pantun itu sendiri

Sunday 11 December 2011

Indahnya.......

Pantun sebenarnya adalah sebuah puisi yang cukup indah. Digarapkan dan dilafazkan untuk menyampaikan sesuatau maksud dengan cara yang cukup bersusila dan indah bahasanya. Pantun dahulu kala banayak menggunakan pembayang yang berdasarkan alam sekelilingnya. Betapa indah pembayang yang digunakan menggambarkan betapa indahnya alam pada suatu masa dahulu. Andai ingin mendengar atau mengetahui mengenai pantun-pantun yang asli, kita boleh mendengar lagu-lagu asli yang telah dicipta oleh pencipta-pencipta lagu yang terdahulu atau juga lagu-lagu tradisional yang disampaikan secara lisan dari generasi yang terdahulu.


Hayatilah setiap bait-bait pantun yang dilafazkan ternyata begitu indah susunannya. Ini juga boleh dijadikan contoh dan panduan untuk anda mencipta pantun sendiri yang berkualiti dan indah susunan bahasanya.

MARI KITA CUBA..................

Isikan tempat kosong dengan pembayang yang sesuai.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan.

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji diatas peti,
 

 

1.      _____________________________,
_____________________________,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

2.      _____________________________,
_____________________________,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

3.      _____________________________,
_____________________________,
Dua tiga boleh ku cari,
Manakan sama adik seorang.

4.      _____________________________,
_____________________________,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Saturday 26 November 2011

WARISAN PANTUN MELAYU

Apa itu pantun?

Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati. Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan.
Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat adalah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.


JENIS-JENIS PANTUN

1. Dua Kerat

Buah beluluk buah kepayang,
Dimakan mabuk dibuang sayang.

2. Empat Kerat - Teka-teki

Kelip-kelip disangka api,
Kalau api di mana puntungnya;
Hilang ghaib disangka mati,
Kalau mati di mana kuburnya?

3. Empat Kerat - Jenaka

Orang Rengat menanam betik,
Betik disiram air berlinang;
Hilang semangat penghulu itik,
Melihat ayam lumba berenang

4. Empat Kerat - Kasih Sayang

Burung merbuk membuat sarang,
Anak enggang meniti di paya;
Tembaga buruk di mata orang,
Intan berkarang di hati saya.

5. Empat Kerat - Nasihat

Air melurut ke tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

6. Empat Kerat - Budi

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi darjat kerana bahasa.

7. Empat Kerat - Nasib

Payang retak tali bersimpul,
Kendi lokan airnya tumpah;
Hidup tidak kerana kaul,
Mati bukan kerana sumpah.

8. Empat Kerat - Perantau

Pungut teritip di tiang batu,
Batu pecah dilanda karang;
Beginilah nasib dagang piatu,
Kain basah kering di pinggang.

9. Empat Kerat - Adat

Buah berangan di rumpun pinang,
Limau kasturi berdaun muda;
Kalau berkenan masuklah meminang,
Tanda diri beradat budaya.

10. Empat Kerat - Kepahlawanan

Patah rotan tali bersilang,
Batang meranti rimbun berjejal;
Langkah pahlawan di tengah gelanggang,
Berpantang mati sebelum ajal.

11. Empat Kerat - Peribahasa

Punggur rebah puyuh mendengut,
Dengut melata di tengah padang;
Sedangkan bah kapal tak hanyut,
Inikan pula kemarau panjang.

12. Empat Kerat - Kias dan Ibarat

Gesek biola tiup serunai,
Sayu dara berhati walang;
Putih mata si burung punai,
Kayu ara ditunggu helang.

13. Empat Kerat - Agama
 
Letak bunga di atas dulang,
Sisipkan daun hiasan tepinya;
Banyak berdoa selepas sembahyang,
Mohon diampun dosa di dunia.

14. Empat Kerat - Kanak-kanak

Anak rusa nani,
Baru kembang ekor;
Apa dosa kami,
Lalu tidak tegur.

Saturday 22 October 2011

Permulaan Yang Indah

Sesungguhnya bahasa itu mempunyai keindahan yang tersendiri. Maka, peliharalah dan julanglah martabat bahasa kita.